CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Jul 13, 2010

Khasiat Tumbuhan Untuk Manusia..


TUMBUHAN ULAM
Bagi orang kampung ulam tentunya menjadi agenda utama sebagai pembuka selera. Ulam biasanya dimakan bersama perencah seperti sambal belacan, sos, budu bagi masyarakat Pantai Timur dan cencaluk sebagai penyedap rasa. Ulam bukan sahaja sebagai penyedap rasa tetapi nutrien dalam ulam adalah penting untuk tubuh kita. Masyarakat Melayu khususnya masih lagi memakan ulam sebagai satu amalan. Ulam dipercayai merupakan makanan yang menjadi penawar berkesan bagi semua masyarakat khususnya masyarakat Melayu.


PETAI
Buah petai atau nama saintifiknya Parkia spp tergolong dalam famili Leguminasae. Buah petai banyak ataupun senang didapati dikawasan Tropika. Pokok petai yang biasa didapati di negara kita ada empat jenis.


Buah petai dipercayai boleh mengubati penyakit darah tinggi dan kencing manis. Biasanya petai dimakan begitu sahaja sebagai ulam ataupun dibuat sambal. Petai umumnya menyumbang kearah kesihatan seseorang melalui pelbagai vitamin, galian dan unsur-unsur lain.



Kandungan khasiat dalam buah petai berbeza mengikut umur dan tahap kesegaran bijinya. Petai yang kecut dan yang tidak bulat bijinya mempunyai kandungan khasiat yang rendah. Selain mengubat penyakit darah tinggi dan kencing manis, masyarakat Melayu juga percaya bahawa buah petai juga berkesan untuk merawat penyakit hati, buah pinggang dan untuk mengubat kanak-kanak yang kecacingan.


ULAM RAJA
Ulam raja mudah hidup subur di laman-laman rumah. Ia merupakan sejenis ulam yang amat sesuai dimakan mentah. Berdasarkan kajian sains ulam raja mengandungi 3% protein, 0.4% lemak dan karbohidrat. Ia juga kaya dengan kalsium dan vitamin A. Oleh kerana kandungan kalsium yang tinggi ulam raja dikatakan sesuai sebagai makanan bagi menguatkan tulang. Ulam raja juga sesuai sebagai agen pencuci darah.


JERING
Nama sains bagi jering ialah Pithecellobium jiringa. Jering tergolong dalam famili Legumnasea. Jering mengandungi sebanyak 3.5% protein, 0.1% lemak, 1.7% karbohidrat dan banyak mengandungi kalsium, fosforus, besi, vitamin A, B dan juga C. biasanya biji jering dimakan sebagai ulam. Jering dipercayai dapat meransang pembuangan air kecil. Tetapi jika dimakan terlalu banyak jering boleh menyebabkan kesukaran membuang air kecil kerana ia mengandungi bahan toksid iaitu asid jengkolik yang boleh menyumbat pundi kencing. Jering juga dikatakan dapat mengubat penyakit kencing manis dan menurut kajian sains sebatian alkoloid dalam jering dapat meneutralkan kandungan gula dalam badan.


BENDI
Bendi mudah didapati di negara kita. Bendi mengandungi sebanyak 2% protein, 7% karbohidrat dan 1% serat.menurut kajian bendi juga kaya dengan zat galian dan vitamin. Bendi merupakan sejenis sayur yang elok untuk perkembangan otak. Dalam bidang perubatan bendi digunakan sebagai peransang untuk membuang air kecil, berkesan untuk merawat gonerea, sifilis serta bengkak saluran kerongkong dan hidung.


TERUNG PIPIT
Terung pipit merupakan tumbuhan liar di Malaysia. terung pipit biasanya dimakan mentah atau dicelur untuk dibuat ulam. Berdasarkan kajian terung pipit mengandungi 2% protein, 0.1% lemak, 7.9% karbohidrat dan mengandungi banyak fosforus, sedikit zat besi, banyak vitamin A dan C serta sedikit vitamin BI. Terung pipit juga dikatakan mengandungi alkoloid jenis steroid yang dikenali sebagai solasodin sebanyak 0.84%. Steroid ini penting untuk menghasilkan pil perancang keluarga. Terung pipit juga digunakan untuk mengubati retak kulit pada kaki, mencuci darah dengan meminum air rebusannya, melegakan kesakitan, penawar racun ular dan serangga serta menjadi ubat yang berkesan untuk meredakan sakit perut.


PEGAGA
Keseluruhan bahagian pegaga (daun, batang, bunga, buah dan akar) banyak kegunaannya dan mengandungi khasiat yang tinggi. Jika terlalu banyak dimakan pegaga boleh menyebabkan penyakit neurotisme. Pada zaman dahulu pegaga digunakan sebagai racun sumpitan untuk memburu binatang. Masyarakat Melayu khususnya amat yakin pegaga berkhasiat untuk memanjangkan umur dan awet muda. Berdasarkan kajian untuk mendapatkan kesan yang positif pagaga boleh dimakan dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Jika pengambilan berlebihan, pegaga akan menyebabkan kesan narkotik dan keracunan kumulatif yang meransang tumor untuk jangka masa yang panjang. Pagaga mengandungi sebatian kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi antibakteria, antispasma, antiinflamasi, hipotensif dan insektisid. Dalam bidang perubatan tradisi, pegaga digunakan sebagai agen analergi, antikanser, antidiarea, anti disenteri, peransang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik, menyejukkan badan, membuang batu karang, penawar kencing berdarah, kusta, gonorea, luka, kudis dan sakit kerongkong.


KACANG BOTOR
Menurut kajian kacang botor jika masih muda mengandungi 1 hingga 3% protein. Oleh kerana itu kacang ini dikatakan sebagai sumber protein. Ia juga kaya dengan kalsium, zat besi dan vitamin A. daun kacang botor juga sedap dibuat sayur atau dibuat ulam. Daunnya mengandungi 5 hingga 7% protein di samping vitamin A, C dan garam galian. Oleh sebab itu daunnya dikatakan sesuai untuk nutrisi, iaitu proses pengolahan dan kemasukan makanan oleh tubuh. Daun kacang botor boleh dibuat losyen untuk meredakan penyakit cacar dengan mencampur ramuan lain. Akarnya juga berkesan untuk menghilangkan penyakit vertigo ataupun gayat ketika berada di tempat tinggi.


TIMUN
Timun begitu mudah didapati di negara kita. Timun sedap dimakan begitu sahaja ataupun dibuat ulam. Timun mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dan 2.2% karbohidrat. Timun juga mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, vitamin C dan niasin. Biji timun mengandungi racun alkoloid jenis hipoxantin yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Daun timun yang muda juga sesuai untuk dijadikan ulam samaada dimakan mentah ataupun dicelur. Timun yang masak jika dimakan mentah dipercayai untuk merawat penyakit sampu pucat, iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga boleh menurunkan berat badan. Berdasarkan rawatan tradisional, timun juga berkesan untuk mengubat penyakit disenteri, iaitu keluar darah semasa membuang air kecil.


TUMBUHAN BERBUNGA
Tumbuhan berbunga biasanya ditanam di kawasan rumah sebagai penyeri halaman. Tumbuhan berbunga juga tidak kurang khasiatnya walaupun ianya tidak boleh dimakan begitu saja seperti ulam. Di negara kita Malaysia terdapat banyak tumbuhan berbunga. Walaupun tidak kesemuanya ada juga tumbuhan berbunga di negara kita yang digunakan sebagai penawar berbagai jenis penyakit.dibahagian ini akan dihuraikan tentang khasiat bunga tahi ayam, bunga melati, bunga pecah lima, bunga raya dan setawar.


BUNGA TAHI AYAM
Oleh kerana baunya yang agak busuk, nama bunga tahi ayam dipilih sebagai pengenalan kepada pokok ini bagi masyarakat tempatan. Nama sains bagi pokok ini ialah Lantana camara. Pokok ini senang ditanam dan mudah dijaga. Menurut kajian daun bunga tahi ayam mengandungi sejenis minyak (sineol) yang senang meruap dan senang meresap dalam udara. Minyak ini juga mempunyai rasa seperti daun pudina. Minyak yang terhasil ini juga amat berkesan untuk mengeluarkan lendir dan kahak daripada penyakit asma. Lendir yang menghalang saluran pernafasan dapat dikeluarkan dengan menghidu bau yang terhasil dari ramasan atau tumbukan daun yang telah dijemur sehingga setengah kering. Daun pokok bunga tahi ayam juga boleh mengurangkan bengkak akibat daripada infeksi kuman. Ini disebabkan oleh kandungan turpineol (minyak atsiri yang bersifat antiseptik yang boleh membunuh kuman) dan furfurol (bersifat fungisida yang berkesan merawat penyakit kulit yang diakibatkan oleh kulat) di dalamnya. Daunnya perlu ditumbuk halus dan ditampal pada bahagian yang sakit.


BUNGA MELATI
Bunganya yang berbau wangi sering digunakan di majlis-majlis rasmi khususnya majlis perkahwinan. Bau harum bunga melati disebabkan oleh penghasilan cecair jasmon yang merupakan sejenis sebatian kimia yang dipanggil keton. Ianya mudah meruap dan menyebabkan bau melati meresap di udara. Minyak ekstrak bunga melati yang dikenali sebagai jasmine oil, sering digunakan untuk menyapu sambil mengurutkan perlahan-lahan bahagian tubuh yang tegang atau sakit saraf. Ia amat berkesan untuk mengendurkan ketegangan urat kerana sifatnya yang mudah meresap jauh ke dalam kulit. Bunga melati juga digunakan sebagai petua meredakan demam bagi kanak-kanak. Sifatnya yang sejuk akan cepat membuatkan suhu badan kanak-kanak cepat menurun. Bunga melati juga dapat mengurangkan lebihan susu ibu selepas bersalin dan elok untuk membuat minyak rambut bagi menyejukkan kulit kepala, mengelakkan keguguran rambut dan meninggalkan bau harum pada rambut.


BUNGA PECAH LIMA
Nama sains pokok ini ialah Vinca rosea @ Lochnera rosea. Bunga pecah lima dikatakan amat berkesan untuk mengubat diabetis. Menurut perubatan tradisional daun bunga ini juga digunakan untuk merawat tumor. Daunnya yang mempunyai kandungan vinbastin, iaitu sejenis alkoloid yang mampu memusnahkan sel-sel tumor. Kesannya yang agak lambat ke atas tumor menyebabkan ianya kurang digunakan pada masa kini. Sari daun pecah lima mengandungi vindolin iaitu sejenis alkoloid yang berbentuk metil ester dari kumpulan asid karbosilik aspidos perimidin yang berkhasiat dan amat berkesan untuk merawat diabetes. Akarnya yang mengandungi akloida, flavonoida dan tanin berkesan merawat masalah putaran haid yang tidak teratur dengan meransang kesuburan pengeluaran telur dagi kaum wanita.


BUNGA RAYA
Nama sains bagi bunga raya ialah Hibiscus rosa sinensis. Bunga ini mempunyai khasiat yang amat mujarab untuk menghilangkan batuk. Tumbuhan ini mengandungi sejenis lendir atau mucin yang memberikan rasa sejuk pada kerongkong dan rongga paru-paru. Selain itu bunga raya juga mengandungi hebiscetin iaitu satu bahan yang amat berkesan untuk meredakan batuk dan menghilangkan kahak. Daun bunga raya juga digunakan untuk menghitamkan dan melebatkan rambut.


SETAWAR
Pokok ini merupakan tumbuhan renek yang daunnya banyak mengandungi air. Setawar merupakan sejenis herba dari kategori crassulaceae. Nama sainsnya ialah Kalanchoe pinnata. Menurut kajian daun setawar banyak kandungan saponin, sejenis bahan berkhasiat yang mudah larut dalam air dan membentuk larutan sabun.daunnya juga mengandungi flavonoidi dan tanin yang boleh mengubat penyakit buasir.


0 comments: